Thursday 18 August 2011

Wednesday 27 July 2011

Makluman Tentang Cuti

Untuk Makluman Semua Waris, SK Penghulu Ahmad akan bercuti bermula dari 29 Julai (Jumaat) - 1 Ogos (Isnin) 2011.

31 Julai 2011 - Cuti Ganti Khas Larian 1 Malaysia
1 Ogos 2011 - Cuti Hari Kelepasan Am Menyambut Ramadhan 1432H

Sekolah akan dibuka semula pada hari Selasa, 2 Ogos 2011. Kami warga SK Penghulu Ahmad mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Tuesday 26 July 2011

Majlis Bacaan Yassin, Solat Hajat Murid Tahun 6

Pihak Sekolah akan mengadakan Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat untuk murid-murid yang akan menduduki peperiksaan UPSR 2011. Pihak sekolah menjemput semua waris murid Tahun 6 untuk bersama-sama di dalam majlis ini.
Majlis akan diadakan seperti berikut:
Tarikh : 28 Julai 2011
Hari : Khamis
Masa : 7.30 - 9.15 Pagi
Tempat : Dewan Terbuka SK Penghulu Ahmad

Diharapkan para waris / penjaga dapat membawa bersama sejadah / telekung untuk solat hajat.




Monday 25 July 2011

SK Penghulu Ahmad Juara Bola Sepak Bawah 10 Tahun Daerah Langkawi 2011

Penantian untuk meraih gelaran juara selama 12 tahun akhirnya berakhir semalam. Bertempat di Stadium Kompleks Sukan LADA menjadi saksi pasukan bola sepak bawah 10 tahun SK Penghulu Ahmad telah merangkul Juara Liga Bola Sepak Peringkat Daerah Langkawi. Dalam pertemuan sengit itu, SK Penghulu Ahmad telah menewaskan SK Seri Lagenda dengan jaringan 2 gol berbalas 0. Gol-gol kemenangan telah dijaringkan oleh pemain  Mohd Syafiq bin Che Haron dan Mohd Alif Najmi. 




Dianggarkan seramai 500 orang penyokong pasukan bola sepak SK Penghulu Ahmad hadir memberikan sokongan.  Pihak sekolah dengan kerjasama PIBG SK Penghulu Ahmad telah menyewa khas 4 buah bas untuk membawa pasukan kompang dan penyokong ke stadium bagi memberikan semangat kepada para pemain.  Turut hadir menyaksikan perlawanan semalam ialah YB Tuan Haji Mohd Rawi Abdul Hamid, ADUN Ayer Hangat dan Puan Aishah Binti Arifin, Guru Besar SK Penghulu Ahmad dan Encik Zulkornain, YDP PIBG SK Penghulu Ahmad.

Sementara itu, YB Tuan Haji Mohd Rawi bin Abdul Hamid dalam satu SMSnya kepada warga sekolah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga SK Penghulu Ahmad terutamanya barisan pemain dan jurulatih yang berusungguh-sungguh dalam memastikan kemenangan ini.  Ini menunjukkan SK Penghulu Ahmad bukan sahaja berjaya dalam bidang pelajaran tetapi juga dalam bidang sukan. Semoga SK Penghulu Ahmad  terus unggul pada masa akan datang.

Sunday 24 July 2011

SKPA Unggul dalam Liga Bola Sepak bawah 10 Tahun


 Pasukan bola sepak bawah 10 tahun SK penghulu Ahmad telah layak ke Peringkat Akhir setelah menewaskan musuh tradisi dari SK Seri Negeri dengan jaringan gol 1-0. Gol SK Penghulu telah dijaringkan oleh Mohd Syafiq Bin Che Haron.  Pasukan bawah 10 tahun ini telah dibimbing oleh Cikgu Noor Azman Long, Cikgu Mohd Arrazi, Cikgu Wan Rozimi, Cikgu Ishak dan Cikgu Shahrul Nizam. Perlawanan akhir akan diadakan pada 24 Julai 2011, hari Ahad di Stadium Kompleks Sukan LADA pada jam 8 Malam.  SK Penghulu Ahmad akan bertemu dengan SK Seri Lagenda pada perlawanan akhir. Jom beramai-beramai menyaksikan perlawanan akhir ini. Semoga SK Penghulu Ahmad akan menjuarai perlawanan ini.


Thursday 21 July 2011

Jadual Peperiksaan Percubaan UPSR & Ujian Bulan Julai 2011

Untuk Makluman Ujian Percubaan UPSR bagi murid tahun 6 akan berlangsung pada 25 - 27 Julai 2011. Manakala Ujian Bulan Julai bagi murid Tahun 2 hingga 5 akan bermula pada 25-26 Julai 2011. Selamat Menduduki Peperiksaan kepada Murid-Murid SK Penghulu Ahmad.

Monday 18 July 2011

SKPA Unggul Dalam Pertandingan Action Song

KAMI MENANG… kumpulan Action Song SKPA bergambar ceria bersama guru selepas memenangi tempat kedua  dalam Pertandingan Action Song sempena Karnival Bahasa Inggeris Sekolah-sekolah Daerah Langkawi yang diadakan di SMK Kedawang..
   Selain action song, peserta SKPA turut mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Spelling. SKPA menghantar wakil untuk mengambil bahagian dalam semua pertandingan sempena karnival tersebut iaitu Action Song, Spelling, Coral Speaking dan Story Telling.

Pelatih Taekwondo SKPA ‘Mengganas’

LEGA… pelatih bergambar bersama Guru Besar 
sebaik tamat ujian


JANGAN RAPAT… pertarungan sengit

 SELEPAS kira-kira enam bulan berlatih, 14 ahli taekwondo SKPA akhirnya lulus cemerlang Ujian Kenaikkan Tali Pinggang Taekwondo yang diadakan di dewan SKPA pada 20 Jun lalu.
   Lebih membanggakan, semua pelatih terbabit lulus cemerlang sehingga mampu ‘melompat’ satu tahap iaitu dari tahap satu terus ke tahap tiga taekwondo sekali gus membolehkan mereka memperoleh tali pinggang kuning.
   Jurulatih Taekwondo SKPA yang juga Pengerusi Persatuan Taekwondo ITF Langkawi, Kapten (B) Rosly Ahmad, berkata semua pelatih menunjukkan kemampuan terbaik dalam ujian menyebabkan mereka layak menerima tali pinggang kuning.
 WACHA...Nabil cuba meletakkan tapak kakinya di muka Adam

   Dalam ujian sekitar jam 4 petang itu, semua pelatih diuji dalam tiga lapangan iaitu tumbukan dan tendangan asas, ujian pattern atau pergerakan asas dan ujian berlawan. Nur Syahadah Syafa’ah Saadan dari kelas 5 Bijak dipilih sebagai pelatih terbaik dalam ujian tersebut.
    Terdapat 10 tahap tali pinggang warna taekwondo yang perlu dikuasai pelatih sebelum mampu memperoleh tali pinggang hitam iaitu putih, putih-kuning, kuning, kuning-hijau, hijau, hijau-biru, biru, biru-merah, merah, merah-hitam dan akhirnya hitam.
GANAS… Zakwan melakukan teknik tumbukan padu 
yang mampu meruntuhkan dinding sekolah

PERLAWANAN ANTARA ADIK DENGAN ABANG… 
Haziq cuba menendang abangnya Hirzi dalam ujian berlawan

   Taekwondo adalah seni mempertahankan diri yang berasal dari Korea tetapi kini dilatih di seluruh dunia termasuk Malaysia selain dipertandingkan sehingga ke peringkat Sukan Olimpik.
  Taekwondo lebih menumpukan kepada corak serangan yang berasaskan kepada tendangan dan terdapat pelbagai jenis tendangan ke merata arah dalam seni beladiri berkenaan.

Program 1Pokok 1Keluarga SKPA Bantu Tangani Pemanasan Global

SELAMATKAN BUMI… para waris turut membantu menanam
 anak pokok.

KIRA-KIRA 40 pokok baru berjaya ditanam di kawasan sekolah dalam program ‘1 Pokok 1 Keluarga’ yang dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKPA.
      Setiausaha PIBG SKPA, Ustaz Zawahil Mahmud, berkata pokok sumbangan waris dan pihak sekolah mampu mengindahkan lagi kawasan sekolah selain mengurangkan pembebasan gas rumah hijau yang mengakibatkan fenomena pemanasan global di seluruh dunia ketika ini.
   “Walaupun usaha ini kecil, kita turut berusaha untuk mengatasi fenomena pemanasan global yang semakin meruncing di seluruh dunia ketika ini. Dengan menanam pokok-pokok baru, pembebasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida berjaya dikurangkan apabila ia diserap tumbuhan hijau ini.
CERIA… golongan ibu membantu menghias 
kelas anak mereka

   “Seterusnya menerusi proses fotosentesis, gas oksigen segar akan dihasilkan pokok dan hasil ini mampu memberi manfaat besar kepada kesihatan warga sekolah terutamanya murid-murid,” katanya yang juga guru matapelajaran sains.
SIAP...bahan terbuang seperti tayar lama juga 
mampu menjadi hiasan berguna.

   Beliau berkata, usaha menangani pemanasan global memerlukan kerjasama semua penduduk dunia. Walaupun usaha seperti menanam 40 pokok ini kelihatan kecil, tetapi jika ia didokong semua penduduk seluruh dunia, ia mampu membawa perubahan besar dalam merawat bumi yang semakin tenat ketika ini.
MUAFAKAT… guru dan waris saling bantu membantu

   Menerusi program ‘1 Pokok 1 Keluarga’ ini juga, pihak sekolah cuba menerapkan tabiat cintakan alam semulajadi dan mengambil berat terhadap ‘kesihatan’ bumi di kalangan murid sekolah dengan harapan mereka mampu menjadi ejen penyelamat bumi daripada serangan pemanasan global pada masa akan datang. Antara kesan pemanasan global ialah bencana alam selain cuaca terik melampau.
    Zawahil berkata, program seumpama itu juga mampu mengeratkan hubungan pihak sekolah dengan waris murid.
   “Sepanjang program, bapa dan guru lelaki bekerjasama menanam pokok dan membersihkan kawasan sekitar sekolah manakala ibu waris membantu guru lain menghias dan menceriakan ruang kelas anak mereka,” katanya.
   Selain pokok, pihak waris juga turut menyumbang baja terhadap tumbuhan sekitar sekolah.
   Dianggarkan seramai kira-kira 50 waris hadir dalam program gotong royong pada hari berkenaan.

Sunday 15 May 2011

:: Selamat Hari Guru 2011 ::

Selamat Menyambut Hari Guru 2011 kepada semua warga pendidik di Malaysia. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan yang telah anda berikan tidak ternilai harganya. Semoga semua warga pendidik terus kental dan bersemangat dalam mencurahkan ilmu dan bakti demi mendidik anak bangsa. 


Selamat Hari Guru 2011 kepada semua warga pendidik. 
"Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara"

Friday 6 May 2011

LAWATAN PEMANTAUAN KURIKULUM BERKUALITI & SKPM JEMAAH NAZIR .





Lawatan pemantauan kurikulum berkualiti dan SKPM dari jemaah Nazir telah dijalankan selama 3 hari bermula pada 3 Mei 2011 sehingga 5 Mei 2011 di SKPA. Seramai 3 orang jemaah Nazir menjalankan tugas yang bermatlamat memantapkan pengurusan dan keberkesanan program Pemantauan Kurikulum Berkualiti di sekolah rendah sepanjang tahun ini.
Antara elemen yang dicerap seperti dibawah :
Pemantauan Perancangan Pengajaran & Pembelajaran
ii. Pemantauan Pengajaran Guru
iii. Pemantauan Kekerapan Latihan Murid
iv. Pemantauan Prestasi Murid
v. Pemantauan Pengurusan Bilik Darjah

Tuesday 3 May 2011

Bersama Menjayakan Ponteng Sifar

MURID SKPA diingatkan supaya tidak ponteng kelas termasuk untuk ke tandas ketika sesi pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan atau tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka.
    Guru Disiplin SKPA, Ustaz Yahaya Mat, berkata berlaku beberapa kes di mana murid dikesan bertindak ponteng dengan tidak masuk ke dalam kelas ketika guru sedang mengajar.
   Terbaru, beliau berjaya menahan beberapa murid yang ponteng dengan bertindak keluar dari kelas masing-masing ketika sesi pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan.
   “Minggu lepas, saya menangkap empat murid 6 Tekun iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan yang ponteng ke tandas pada waktu pengajaran dan pembelajaran. Lebih teruk lagi adalah murid lelaki ini bertindak mengintai ke dalam tandas murid perempuan,” katanya dalam perhimpunan mingguan pada 6 Mac lalu.
   Semua murid SKPA dilarang keluar kelas ketika waktu pengajaran dan pembelajaran walaupun untuk ke tandas.
   Murid yang melanggar peraturan ini akan direkodkan namanya untuk dihantar kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk tindakan lanjut.
   Selain itu, Ustaz Yahaya turut mengingatkan bahawa murid dilarang membawa objek tajam dan berbahaya termasuk pembaris besi kerana ia boleh disalahguna sehingga mendatangkan kecederaan kepada orang lain.
    “Minggu lepas juga, seorang murid 5 Arif bertindak menoreh muka rakannya dengan menggunakan pembaris besi sehingga luka.
   “Pembaris besi tidak boleh dibawa ke sekolah dan jika pembaris itu milik guru, murid tidak boleh mengambilnya sesuka hati mereka,” katanya.

SK Penghulu Ahmad Menjadi Anak Angkat Jabatan Penerangan Malaysia

SALAM...Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abdullah Morad, bersalam dengan murid ketika kunjungannya bagi menyerahkan watikah ‘sekolah angkat’ kepada SKPA.
     SKPA dipilih menjadi ‘sekolah angkat’ Jabatan Penerangan yang bertujuan menerapkan dasar kerajaan kepada warga sekolah berteraskan konsep 1 Malaysia.
     Majlis penyampaian watikah diadakan 7 Mac lalu serentak Hari Penyampaian Anugerah Cemerlang Murid UPSR 2010. Watikah disampaikan Datuk Abdullah kepada Guru Besar SKPA, Cikgu Aishah bt Arifin.

Surau SKPA Kini Lebih Luas

MENYEDARI kepentingan surau sebagai satu daripada pusat pembelajaran di sekolah, pihak sekolah dan PIBG mengambil inisiatif memperbesarkan surau SKPA bagi memberikan keselesaan kepada pelajar untuk menuntut ilmu di dalamnya.
    Bendahari PIBG SKPA, Cikgu Shahrul Nizam Md Nor, berkata kos sebanyak RM11,400 digunakan untuk memperbesarkan surau itu terutamanya membabitkan ruang solat wanita.
   “Sumbangan bagi proses pembesaran surau ini diperoleh daripada dana PIBG, derma orang ramai termasuk murid SKPA selain Pejabat Zakat Kedah yang menyumbangkan bantuan sebanyak RM4,000,” katanya.
   Selain untuk menunaikan solat, surau SKPA digunakan untuk pembelajaran matapelajaran al-Quran, Bahasa Arab, Pendidikan Islam dan kursus pelajar.

Bantuan derma untuk Adam

MURID tahun tiga Pemulihan Khas SKPA, Muhammad Adam Abdul Halim, disahkan menghidap luekemia pada Disember tahun lalu.     Sehubungan itu, pihak sekolah akan mengadakan tabung kutipan derma bagi membiayai kos rawatan Adam. Murid yang ingin memberikan bantuan derma boleh berhubung dengan Ustaz Yusri Halim.

Saturday 30 April 2011

Monday 18 April 2011

Lawatan Penanda Aras Eratkan Hubungan Dua Negara Malaysia-Thailand

LANGKAWI : Satu program yang merentasi dua buah negara iaitu Lawatan Penanda Aras ke dua buah sekolah di Satun , Thailand yang diadakan pada 31 Mac-2 April anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad, Ayer Hangat telah berlangsung dengan jayanya. Lawatan ini disertai para guru, AJK PIBG dan juga para waris.
            Dua buah sekolah yang terpilih dalam lawatan ini ialah Sekolah Bantanyongkabooy dan Sekolah Bankhuan dalam Wilayah Satun. Sepanjang lawatan itu pelbagai pengalaman dapat dirasai oleh ahli rombongan dan mungkin juga ada sesuatu yang menarik di bawa pulang untuk warga SKPA. Segala informasi pendidikan yang terkini akan dikongsi bersama.
            Sebelum bertolak pulang , ahli rombongan sempat membeli belah di sekitar bandar Hatyai sebagai ole-ole untuk di bawa pulang. Diharapkan kerjasama yang terjalin akan memberi impak yang positif dalam pembangunan pendidikan. Semoga SKPA mendapat sesuatu yang amat berharga untuk dimanfaatkan bersama demi mencapai kecemerlangan yang lebih unggul di SKPA.


























Disediakan Oleh : Nor Sharkila Bt Saad
Setiausaha Biro Kurikulum PIBG SKPA.

FB Sekolah

Detik UPSR 2018

Tinggalkan Mesej Anda

Latar belakang pengunjung blog ini. Anda ialah...

Blog Archive

Artikel Terkini