Monday, 18 April 2011

Saturday, 9 April 2011

Warisan Bangsa Melayu Terus Dipelihara

PENYERTAAN murid SKPA dalam Kelab Pencak Silat sekolah membolehkan warisan bangsa Melayu itu terus dipelihara sehingga ke generasi akan datang.
     Guru Penasihat Kelab yang juga Jurulatih Kelab Pencak Silat SKPA, Cikgu Sharif Shah Bani Sharif Hamid, berkata beliau bangga masih ada murid memiliki kesedaran untuk memelihara warisan bangsa daripada pupus dengan menyertai kelab ini.
     “Seni mempertahankan diri Taekwondo berasal dari Korea, Karate dari Jepun, Kung Fu dari China dan kita sebagai bangsa Melayu memiliki silat yang sudah wujud ratusan tahun dulu. Dengan penyertaan dalam Kelab Pencak Silat sekolah, ia secara tidak langsung memastikan warisan ini akan terus wujud pada masa akan datang. Murid ini adalah pewaris warisan bangsa,” katanya.
     Beliau berkata, silat juga tidak kurang hebatnya berbanding seni mempertahankan diri dari negara lain.
     “Antara kelebihan silat adalah murid akan turut diajar menggunakan senjata seperti rotan, keris, parang atau kain yang mana ilmu senjata tidak terdapat dalam kebanyakan seni bela diri lain termasuk taekwondo.
     “Bagaimanapun, buat permulaan, murid SKPA akan diajar asas bersilat seperti tumbukan, tendangan, tepisan serta kuncian dan jika mereka sudah mahir, maka ilmu senjata akan diajar kepada mereka,” katanya. Murid yang berminat menyertai Kelab Pencak Silat sekolah, boleh menghubungi Cikgu Sharif atau Cikgu Nasron.

Rumah Waja Juara Sukan Tara SKPA 2011

SAAT CEMAS...peserta menunggu Ustaz Latif 
membunyikan hon

PASUKAN rumah Waja berjaya mengalahkan empat rumah sukan lain sekali gus menjadi juara Kejohanan Sukan Tara yang diadakan di padang SKPA, pada petang 22 Februari lalu.
     Setiausaha sukan SKPA, Cikgu Ishak Mohamed Rasid, berkata Waja memperoleh 124 mata manakala tempat kedua adalah Satria (120 mata) diikuti Wira (107 mata) dan Putra (95 mata).
     “Sebanyak tiga acara sukan dipertandingkan iaitu Lari Pecut 100 Meter, Lontar Peluru dan Lompat Tinggi. Pertandingan diadakan dengan sengit tetapi akhirnya rumah Waja menjadi juara keseluruhan bagi tahun ini,” katanya.
     Katanya, kejohanan disertai hampir semua murid tahun tiga hingga enam bertujuan mencungkil bakat baru dalam dunia sukan sekolah untuk dibawa bertanding ke peringkat lebih tinggi.
LARI...hujan selama 10 saat menyebabkan murid 
bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri

     “Murid yang memenangi acara dipertandingkan dalam Sukan Tara ini akan diuji dengan lebih lanjut dan jika mereka layak, mereka akan dibawa bertanding dalam Kejohanan Sukan Sekolah Daerah Langkawi yang akan diadakan bulan depan,” katanya.
     Beliau berkata, latihan persiapan bagi setiap rumah sukan diadakan setiap minggu sejak Januari lalu dan sepanjang latihan, murid didedahkan teknik bersukan yang betul bagi setiap acara.
LEPAS...atlet rumah Wira melakukan aksi ‘flying kick’ untuk
 melepasi palang lompat tinggi

     “Kebanyakan murid dapat menunjukkan kemahiran bersukan yang betul bagi ketiga-tiga acara ini. Ia adalah pendedahan berguna buat mereka pada masa akan datang,” katanya.


Tindakan Tegas Jika Rosakkan Harta Sekolah

MURID yang merosakkan harta sekolah akan dikenakan tindakan tegas termasuk diarah membayar kos ganti-rugi barang yang dirosakkannya.
     Guru Disiplin SKPA, Ustaz Yahaya Mat, berkata pada bulan ini, terdapat kes seorang murid tahun enam merosakkan pintu kelas tahun lima dan tindakan keras akan dikenakan terhadap murid terbabit.
     “Murid lelaki ini menendang pintu kelas hingga pecah serta berlubang dan saya akan meminta ibu bapanya membayar kos ganti rugi pintu yang pecah ini. Harga pintu ini lebih RM100 dan dia terpaksa membayarnya kerana ia adalah harta sekolah,” katanya pada perhimpunan mingguan, 13Februari lalu.
     Selain itu, murid juga dilarang menconteng termasuk menulis nama dan kelas mereka pada kerusi atau meja sekolah kerana kerusi atau meja berkenaan adalah harta sekolah dan bukannya hak milik mutlak murid.

Lawatan Sambil Belajar Ke Kolej Komuniti Langkawi

BEGINI CARANYA...sebahagian murid tahun 6 Pintar mendengar dengan penuh minat mengenai teknik memasak secara professional yang disampaikan pelatih Kolej Komuniti Langkawi dalam lawatan Kelab Pelancongan SKPA ke pusat pengajian itu pada 22 Februari lalu.

SKPA Catat Keputusan Membanggakan Dalam Pertandingan Golf MSSD Langkawi

Walaupun baru mengenali sukan golf selama beberapa bulan, kemampuan murid SKPA terbukti apabila memperoleh tempat keempat dalam Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Daerah Langkawi yang diadakan di Kelab Golf Gunung Raya pada 13 Februari lalu.
     Setiausaha Sukan SKPA, Cikgu Ishak Mohamed Rasid, berkata sekolah menghantar dua wakil ke pertandingan itu dan berbangga apabila seorang daripada mereka iaitu Mohd Akmal Alif Mohd Zan, berjaya mengalahkan beberapa pemain berbakat sekolah lain sehingga memperoleh tempat keempat dengan 110 pukulan.
     “Sepuluh peserta daripada sekolah seluruh Langkawi bertanding kategori bawah 12 tahun dan kita mendapat tempat keempat dan ke-10,” katanya. SKPA diwakil Akmal Alif dari kelas 6 Cerdik dan Roslan Rosli dari kelas 5 Arif. Roslan membuat 168 pukulan.
     “Saya berbangga dengan semangat dan kemampuan dua wakil sekolah ini kerana mereka dapat bermain golf dengan baik walaupun baru melihat padang golf sebenar sehari sebelum pertandingan,” katanya.

Ujian Bulan Mac 2011


TEKUN… murid kelas 3 Tekun menjawab soalan dengan penuh teliti dalam ujian penilaian awal tahun SKPA yang diadakan dari 29 hingga 30 Mac lalu. Semua murid dari tahun dua hingga enam SKPA menduduki ujian berkenaan yang menguji pemahaman mereka pada tahap awal pembelajaran selepas hampir dua bulan menuntut ilmu di sekolah.

Cikgu Hamizul Bertukar ke SK Relau

SELEPAS kira-kira setahun lima bulan menabur bakti di SKPA sebagai Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid, Cikgu Hamizul Othman, akhirnya ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Relau, Sungai Jawi, Kedah pada 27 Februari lalu.
     Beliau yang juga guru Bahasa Malaysia bagi kelas 5 Pintar di SKPA, akan menjawat tugas sebagai Penolong Kanan Ko-kurikulum di sekolah baru berkenaan. Jawatan Cikgu Hamizul diganti Cikgu Roshita Sulaiman yang sebelum ini menjawat tugas sebagai Penolong Kanan Ko-kurikulum.
     Dalam pada itu, SKPA mengalu-alukan kedatangan dua guru baru antaranya Cikgu Fatimah Kassim yang akan bertugas sebagai Penolong Kanan Ko-kurikulum di sekolah ini. Cikgu Fatimah sebelum ini bertugas di Sekolah Kebangsaan Sungai Menghulu di Kuah. Seorang lagi guru baru ialah guru Pendidikan Islam J-Qaf iaitu Ustaz Ahya Yusoff.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1432H Peringkat Sekolah

MAJLIS MAULIDUR RASUL yang diadakan di SKPA pada 24 Februari lalu disambut meriah dengan kehadiran ramai penduduk Ayer Hangat sekali gus membuktikan program sedemikian mampu mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dengan komuniti setempat.
    Guru Besar SKPA, PuanAishah Ariffin, berkata, pihak sekolah merancang mengadakan majlis secara besar-besaran pada tahun ini yang tidak saja membabitkan murid dan guru tetapi turut disertai penduduk sekitar Ayer Hangat.
    “Berbeza dengan tahun lepas, tahun ini kita mengadakan kenduri dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersetuju menyumbang seekor lembu untuk disembelih. Pihak yang ingin mengadakan akikah juga turut serta dalam pembelian lembu ini.
    “Selepas lembu disembelih pada petang 23 Februari, warga sekolah bersama waris serta penduduk Ayer Hangat bergotong-royong melapah dan memasak daging untuk dijamu kepada tetamu. Tetamu yang dijemput untuk kenduri ini tidak semestinya waris pelajar sahaja tetapi semua penduduk,” katanya.
    Kira-kira 300 penduduk sekitar Ayer Hangat hadir memeriahkan majlis kenduri Maulidur Rasul ini termasuk turut sama menyertai perarakan sejauh sekitar satu kilometer. Turut hadir ialah ADUN Ayer Hangat, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Rawi b. Hj Abd Hamid, tetamu jemputan dan pemimpin setempat.
    Selain kenduri dan perarakan, majlis turut dimeriahkan persembahan nasyid, selawat, pertandingan tilawah, hafazan, menulis jawi khat dan pertandingan bercerita sirah Nabi Muhammad SAW.

Friday, 21 January 2011

Saturday, 15 January 2011

Wednesday, 5 January 2011

Mantan Guru Besar SK Penghulu Ahmad

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad ialah:


1936
En. Bahari bin Mahmud
1947
En. Ku Hashim bin Ku Mohd. Salleh
1957  
Tn Hj. Md. Zain bin Ahmad
1975 
En. Hashim bin Mat ( memangku )
1975 
Tuan haji Hassan bin Saad
1981 
En. Mohammad bin Salleh (memangku)
1982 
En. Wan Ismail bin Wan Md. Isa
1983 
En. Othman bin Musib ( 1.10.1993 – 28.02.1993)
1993 
En. Suid bin Chin (memangku – 01.03.1993 – 30.05.1993)
1993 
Tuan Hj Ahmad Hulmi bin Hj Ismail ( 01.06.1993 – 01.03.1997)
1997 
En. Md Rashid bin Baharom ( 01.03.1997 – 17.08.1997)
1998
En. Abu bin Said
2000 
En. Abu Bakar bin Ahmad
2001 
Pn. Salma binti Ibrahim ( 16.11.2001 – 21.11.2002)
2003 
En. Mahadhir bin Hassan ( 16.03.2003 – 1.06.2005)
2005 
Pn. Jauyah binti Ayup ( 01.06.2005 – 31.05.2008)
2008 
En Mokhtar bin Mohamad (16.10.2008 – 11.01.2009)
2009 
Pn.Fosiyah binti Md. Din (memangku 12.01.09 – 29.03.09)
2009 
Pn. Aishah binti Arifin ( 29.03.2009 – 15.01.2012 )
2012
Pn. Fosiyah binti Md.Din ( memangku 16.01.2012 – Sekarang)

Saturday, 1 January 2011

Sejarah Sekolah

Tanggal 1 April 1936 bersamaan 10 Muharram 1355, sekolah telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Pegawai Daerah Langkawi mewakili Kebawah Duli yang Maha Mulia Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah.   Bangunan kayu yang didirikan oleh rakyat tempatan dengan diketuai oleh Tuan Penghulu Ahmad bin Hamid.

Pada hari pertama, sekolah ini telah menerima seramai 68 orang murid.   Guru Besar sulungnya ialah Cikgu Bahari bin Mahmud berasal dari Sungai Petani dan seorang guru penolong iaitu Cikgu Jaafar bin Abdul Aziz berasal dari Kuala Ketil.

Guru-guru menginap di rumah kayu yang disediakan oleh pendudukan tempatan.   Sekolah ini diberi nama Sekolah Rakyat Ayer Hangat.

29. 12.1945
Sekolah ini telah ditutup kerana Peperangan Dunia Kedua atau dikenali sebagai Perang Jepun.  Penutupan ini diarahkan oleh Tuan Pegawai Daerah Langkawi.
10. 02. 1946
Mesyuarat  pertama diadakan bagi pembukaan semula sekolah selepas tamat pendudukan Jepun.
1947
Sekolah dibuka semula selepas berakhirnya penjajahan Jepun.
23. 03.1954
Pihak Pejabat Pelajaran (SoE) mencadangkan supaya sekolah ini diberi bangunan baru.
09. 07.1954
Bangunan baru dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Pegawai Daerah Langkawi.
21. 06. 1977
Bangunan sekolah dua tingkat dibuka dengan rasminya oleh YB Tuan Haji Salleh bin Jafaruddin, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia.  Bermula dari tarikh ini sekolah diberi nama Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad.
01. 06. 1984
Bangunan tambahan dua tingkat mula digunakan.
01. 01. 1990
Bangunan Pusat Sumber Sekolah siap dibina
01. 06. 2009
Bangunan baru 4 tingkat dibina.

FB Sekolah

Detik UPSR 2018

Tinggalkan Mesej Anda

Latar belakang pengunjung blog ini. Anda ialah...

Artikel Terkini